Hari
tu aku mimpikan seseorang. Seorang
kawan lama dari sekolah menengah. Kami tidaklah rapat, tapi syubhi suka
mengusik aku. Dia kasar, mungkin itu cara dia bergurau. Jauh di sudut hati aku
walaupun aku tidak suka dia berkasar dengan aku, aku tahu dia ada jiwa yang
baik. Tapi lama sudah aku tak berjumpa dengannya. Kami terpisah sejak kami
selesai peperiksaan SPM.
Amat
pelik, walaupun kebelakangan ini teringat pasal dia, tapi tidaklah sampai
terbawa ke dalam mimpi. Dia datang ke kawasan mimpi aku, rumah lama. Setiap
kali mimpi, aku akan termimpikan rumah sewa lama. Yelah, rumah itu sudah lama
aku diami. Hampir 14 tahun aku membesar di sana. Mungkin mudah bagi dia untuk
cari aku dalam kurungan memori aku. Waktu mimpikan Syubhi, aku nampak wajah dia
putih, badan dia juga putih. Tapi tidaklah sepertimana aku kenal si Syubhi ni
sampai putih melepak. Dia kelihatan sangat bersih, senyap. Dia tidak berkata
apa- apa apabila aku bertanya. Hanya senyum, menggeleng dan mengangguk sahaja.
Bila aku terbangun, aku terfikir lama mengenainya. Aku syak Syubhi sudah
meninggal. Hanya dua kemungkinan sahaja muncul dalam fikiran aku. Sama ada
Syubhi meninggal atau dia meminta tolong dari aku. Aku hampir percaya pada
kemungkinan pertama. Ya, itulah yang membentuk keyakinan aku. Aku jadi sedih.
Ramai kawan- kawan aku mati muda.
Lantas,
aku terus dail emak. Bertanya pendapat beliau. Emak kata mungkin itu petanda
dia dah tiada. Sedekahkanlah fatihah untuk dia. Mungkin dia perlukan doa aku
dan mungkin dia hendak meminta maaf dari aku atas semua dosa- dosa dia. Pada
aku yang lepas sudah- sudahlah, biarkan lepas. Aku tak mahu menaruh dendam atau
tidak memaafkan orang lain. Jauh di sudut hati memang aku sayangkan semua
kawan- kawan aku. Walaupun pada masa lampau dia selalu usik aku, aku tak kisah.
Itulah kenakalan namanya. Kalaupun dia hutang dosa dengan aku, aku anggap itu
sudah langsai, aku maafkan.
Mimpi
ini membawa aku ke satu sudut baru. Kemaafan dan erti perpisahan.
Mati,
siapalah yang sukakannya. Ia memisahkan roh dan jasad, hak dan tanggungjawab,
tawa dan kegembiraan. Tiada siapa yang
tahu bilakah. Tiada siapa rela berpisah. Tiada siapa bersedia untuknya. Tragis,
sungguh tragedi. Sesiapa akan menangis. Sama ada dia ataupun warisnya. Mungkin
sudah terlambat, ada saki baki yang belum langsai. Soal hati mahupun
tanggungjawab. Soalnya semuanya sudah terlambat.
Benarlah,
Demi
masa sesungguhnya manusia dalam kerugian.
Kecuali
mereka yang beriman dan beramal soleh.
Serta
Berpesan-
pesan terhadap hak,
Dan
berpesan pesan terhadap kesabaran.
Dalam
mengingat semua ini, aku sedih. Merenung semua kenangan, merenung semua
kekhilafan. Masa lalu yang membentuk diri aku sekarang, masa lalu mengajar aku
kehidupan. Aku juga adalah produk dari kesilapan aku membentuk diri aku, lantas
memaksa diri aku insaf dan membetulkan di setiap sudut itu.
Taubat,
itulah sebaik- baik jalan.
Syubhi,
aku pasti kau tidak membaca ini. Tapi aku tetap merasai kehadiran kau. Biarlah
dosa lalu itu berlalu. Aku sanggup memaafkan kau. Yang pasti, semua kenangan
itu manis…
Alfatihah
buat Syubhi, semoga tenang di sisi Allah. Amin
No comments:
Post a Comment